(i)
'Nah'
'Apa ni?' Mizan kaget sambil menyambar kad nama yang dihulur Azmir.
'Kad baru aku'
'Sejak bila pula kau bertukar tempat kerja? Setahu aku bukan ke kau di Radio Induk? Bila pula ke Pen FM?' Mizan mengasak mahukan kepastian.
'Masih di situ. Tapi kini bertukar nama. Rebranding. Penjenamaan semula' Azmir menjawab megah.
'Pen FM...mmm Pen itu apa?'
"Penyiaran Nasional"
"Itu saja?"
"Pen diguna untuk menulis. Besar peranannya. Ia mencipta. Inovatif. Kreatif. Produktif. Pen disemat ke dalam saku baju, hampir di hati, oleh itu sentiasa diingati. Pen juga disebut pen dalam bahasa Inggeris. You know, this is my pen. Pen is where i work" Azmir menghurai lagak ejen insurans.
“Kalau pen kehabisan dakwat?” Mizan menangkis.
“Hasil tulisannya kekal”
Mizan masih belum puas.
“Bertukar nama sahaja?”
“Amboi semua kau nak tahu dengarlah 109.9 mhz” Azmir persis tersindir.
Sedar akan ketidaksenangan Azmir, Mizan cuba mengangkat.
“Kau takkan masih deejay lagi. Tentu dah di tahap pengurusan sekarang?”
“Di Pen fm, deejay atau pengurusan sama berperanan. Ular menyusur akar takkan hilang bisanya”
“Kau orang lama. 20 tahun dulu di kalangan deejay disegani tanahair. Sekarang mampu ke bersaing dengan anak-anak muda dari stesen yang tumbuh bak cendawan tu?”
Begitulah Mizan seorang pemerhati yang cerewet. Tapi dia sahabat yang baik hati. Telus. Malah tidak kedekut lebih-lebih lagi soal berkongsi pendangan dan idea.
“Kau tak sentuh pasal pengalaman?” Azmir seakan dicabar.
“Tapi aku tahu kau dari golongan low profile. Pengalaman banyak tapi sukar dicungkil. Sememangnya Mizan mengenali Azmir luar dan dalam. Mereka sekampung. Sepermainan.
Azmir dan Mizan dipisahkan benteng profesyen. Azmir berjiwa seni. Dia tidak seperti Mizan yang menampilkan ketegasan dalam setiap tindak tanduk. Malah memang wajarlah dia kini senang menjadi seorang pegawai polis yang berjawatan tinggi.
Tetapi Azmir tetap berpegang teguh pada pegangan hidupnya. Setiap orang punyai keistimewaan. Falsafah ini membuat Azmir tidak gemar membanding-banding.
Baginya kalau semua orang memperoleh kesempatan dan peluang yang sama, dunia jadi membosankan. Tidak mungkin ada perkongsian pengalaman. Tidak akan wujud kelebihan peribadi. Hamparan yang dilalui sewarna.
Baginya kek kehidupan perlu berlainan rasa. Biar masing-masing dengan daya penarik dan aura tersendiri.
“Aku masih ingat kau pernah turun naik pentas dengan program lagu-lagu popular kau. Apa...Carta Pujaan?” semilir nostalgia yang ditiup Mizan mendorong Azmir untuk mengukir senyuman.
“Lebih sepuluh tahun dulu. Kisah lama tu” memang Azmir tidak akan lupa dengan rutin bulanan ketika menerajui rancangan carta lagu-lagu hits tempatan.
(ii)
Pertemuan dengan Mizan petang itu ibarat memecahkan gerobok kenangan Azmir. Carta Pujaan adalah nadi ketika dia mencipta nama sebagai penyiar di stesen induk. Malah ketika itu Azmir betul-betul berada di puncak karier. Walaupun itu bukan pengiktirafan rasmi namun Azmir dapat merasakannya secara peribadi.
Bermula dengan sebuah rancangan mingguan, Carta Pujaan menerjah sebagai rancangan yang menjadi kayu ukur populariti sesebuah lagu. Penerbit album menjadikannya sebagai rujukan. Penyanyi pula terasa dihargai seandainya lagu mereka berjaya mendapat tempat dalam carta.
Kotak ingatan Azmir mula memutarkan filem lampau miliknya. Bagaimana pada setiap konsert bergeraknya akan dikerumuni ribuan peminat. Lebih banyak penonton beerti lebih popularlah sesebuah rancangan itu.
Azmir turut menyedari penampilannya bersama sebarisan artis popular ke merata pekan dan bandar turut mengajarnya tentang hidup dalam kancah dunia hiburan.
Tentang glamor. Hipokrasi.
Azmir sebenarnya tidak pernah mengimpikan situasi sebegitu ketika mula-mula menceburi bidang penyiaran. Pada waktu itu dia hanya nampak penyiar sebagai profesyen untuk mendekati masyarakat dari corong radio. Itu saja.
Namun semua tu diterimanya sebagai cabaran. Yang pasti program kendaliannya mampu menaikkan rating stesen tempat dia mencari nafkah. Setiap kali terkenangkan itu Azmir pasti tersenyum puas.
Program itu jugalah yang membawanya beraksi hingga ke kaca tv. Sayangnya sebaik beberapa stesen penyiaran lain muncul dengan pelbagai penampilan dan strategi dalam memenangi hati peminat program kendaliannya mulai kusam.
Dia tidak mampu bertahan seperti Casey Kasem deejay tersohor American Top 40 yang walau berusia tetapi gah menjadi hos program itu sehingga 2004 pada usia 72 tahun. Azmir akur perbezaan antara bumi dan langit itu.
Namun Azmir cukup asa terkesan dengan ungkapan yang menjadi mutiara peribadi Casey.
“Tetaplah berpijak di bumi nyata sambil mencapai bintang di langit”
Pertemuannya dengan Mizan petang itu sekadar pemanas semangat bagi Azmir. Dapat berbicara tentang kisah-kisah lama yang suatu ketika pernah membara dalam hidupnya. Bara dari obor yang berjaya singgah ke hati ribuan peminat.
Siapa sangka mantan deejay yang sudah memutih di kepalanya ini pernah didampingi ramai pemnat. Deringan telefon mengajak berbicara banyak tidak terkira. Ketika itu tiada sms atau email.
Ditambah dengan layangan surat yang diterima. Sehingga ada satu yang bagi Azmir cukup istimewa. Peminat yang seorang itu punya bakat melukis. Saban kali sampul daripadanya dibuka akan terserlah potret artis-artis pujaan yang lagu mereka sedang menjadi hits semasa.
Malah wajah Azmir turut dijadikan lakaran. Teruja benar dia dengan Carta Pujaan. Namun sehingga kini peribadi si dia masih menjadi misteri.
(iii)
Kini Azmir merasakan dia bagai dilahirkan semula. Lahir bersama wujudnya Pen fm. Pen fm baginya ibarat bayi. Ia umpama kanvas putih yang menanti untuk dicorak.
Bersama-sama Azmir adalah kelompok penyiar yang sudah berusia. Berumur sering dikaitkan dengan kematangan. Namun matang saja belum tentu mampu bersaing dengan gelagat penyiar muda masa kini.
Khalayak bukan sekadar mahukan hiburan semata-mata. Pun mereka juga tidak betah dihidang dengan celoteh tanpa isi. Bahkan pengisian bahan yang dianggap leteran merupakan pilihan tercorot.
Penyiaran hari ini jauh lebih kompleks daripada apa yang generasi sebelum Azmir lalui. Justeru penyiar hari ini perlu sedar dan akur. Mereka harus tabah menyahut cabaran.
Dia kini banyak mencurah pengalaman pada generasi penyiar muda. Generasi yang lebih mengerti kehendak khalayak masa kini berbanding dia.
“Ingin menjadi penyiar versetile? Tahu apa resepinya?” Tanya Azmir pada Nida, penyiar muda kuning langsat dan berlesung pipit kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, ketika hari pertama melaporkan diri di Pen fm.
“Sekadar fasih menyebut nama artis, belum cukup. Suka bergosip belum memadai. Setakat petah berceloteh jangan harap” syarah Azmir pada pucuk yang baru kenal dunia ini.
Nida terkebil-kebil. Dia ibarat anak ayam baru menetas. Hanya menunggu asakan si ibu untuk mengajar erti hidup.
“Lihat dunia hari ini. Belajar dari alam. Luaskan pengalaman. Gunakan kelulusan yang awak ada untuk mentafsir hati budi insan. Jangan melihat makhluk sekadar makhluk. Kalau bekerja, bekerjalah dengan sepenuh hati. Halusi tugas dan tanggungjawab. Cari makna kepuasan sebenar. Jadilah penjawat yang berkaliber, dedkasi. Mahu menambah ilmu, tidak sombong, tidak lokek pengalaman. Melihat bukan dari satu sudut. Tidak jumud. Rungkai rahsia dunia yang diceburi. Gali isi. Kupas maknawi. Dan mengatasi segalanya, jaga kehormatan, hormat orang barulah awak dihormati” getus Azmir persis guru yang ingin mengijazahkan mutiara ilmu kepada mubtadinya.
Azmir rasa puas kerana dapat meluahkan pengucapan yang sebegitu kepada anak gadis lepasan IPTA yang berminat menjadi penyiar sepertinya.
Malah Nida bukan berseorangan. Pen fm dalam usahanya untuk mendepani gejolak penyiaran dan citarasa khalayak masa kini sedang merekrut sebilangan petugas muda yang berijazah bekerja di stesennya.
Ada yang berkelulusan komunikasi, kewartawanan, seni persembahan malah tidak kurang yang tiada kaitan dengan dunia penyiaran. Tetapi atas dasar minat dan ingn berbakti kepada masyarakat di sebalik mikrofon mereka tampil dengan semangat berkobar-kobar.
“Pen fm beruntung dapat petugas macam awak. Belajar tinggi. Punya fikiran kritis. Berjuanglah dengan penuh yakin. Tapi jangan sekali-kali pandang rendah kebolehan orang lama. Ingat gabungan lama dan baru itulah sebenarnya kesempatan untuk mengharmonikan kejayaan” Azmir memasak peringatan.
Azmir seolah berfalsafah. Namun dia amat memahami, penyiar muda seperti Nida jika tidak dibentuk dari awal ditakuti akan terjerumus ke dunia glamor yang bagi Azmir tidak lebih daripada fatarmogana. Indah ketika dilihat dari jauh.
“Satu lagi. Awak mungkin ada prinsip tersendiri yang dikutip dari bilik kuliah dan mulut pensyarah. Tapi ini realiti. Apapun, ramuan sikap, pengetahuan dan kemahiran adalah pelengkap untuk menjadi seorang penyiar yang berjaya”
“Pergilah ke manapun. Melompatlah dari stesen ke stesen. Tapi kalau awak muflis ketiga-tiganya, jangan mimpi nak lontarkan suara ke udara” Azmir menyudahi tutorialnya kepada Nida, nama siaran bagi Siti Aznida Haryati Omar.
Azmir bukan bermaksud menunjuk-nunjuk. Jauh untuk memperlekeh budak baru. Tapi dia rasa terpanggil untuk membimbing dan menyedarkan mereka yang ingin berkecimpung sebagai siarawan.
Azmir tetap ingat akan kata-kata serupa yang diteguknya ketika menjejakkan kaki ke stesen idamannya itu hampir tiga puluh tahun lalu. Dia banyak melalui pahit maung dan sepak terajang dunia penyiaran.
Tetapi dia sedar bahawa dia juga berperanan seperti guru, anggota keselamatan, doktor hatta siapa sahaja yang menjawat tugas yang diamanahkan untuk berkhidmat pada masyarakat. Bukan untuk kepentingan peribadi. Sesekali tidak.
Terkenangkan itu, sekali lagi Azmir tersenyum puas. Dia beroleh kepuasan menyalurkan sekelumit pengalaman ke dada generasi penyiar baru. Moga mereka pula akan menjana usaha ke arah menyerlahkan maklumat kepada khalayak. Tidak kira masa. Tidak kira bila.
Biarlah sumbangan kerdilnya itu mampu menjulang nama Pen fm di persada khalayak. Kombinasi hiburan dan maklumat menjadi hidangan bak kaya dan roti. Malah Azmir sedar tempoh kehadirannya semakin suntuk. Namun dia berazam ingin mengangkat kembali satu-satunya stesen idamannya sejak dulu.
Pen fm kini tampil dengan identiti “Lebih Pilihan Sepanjang Siaran”. Semoga pilihan itu adalah pilihan sebenar masyarakat.
Namun pada Azmir dia tetap mengungguli ungkapan yang sinonim dengan penampilannya sejak bergelar penyiar, “Jaga Diri Hiasi Peribadi"
Friday, January 2, 2009
Wednesday, December 24, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)